Kadang-kadang, aku pun penat jugak.
Assalamualaikum.
Di celah-celah hampir 180° sudut pandangan jutaan manusia. Kau hidup di situ. Tanpa tujuan, kata otak cetek kau. Tanpa kau paksa, paru-paru kau kembang dan kempis menukar udara. Mata kau meliar. Manusia sebegitu dan sebegini hati kecil kau bermonolog. Terasa macam tak berguna kerana kau cuma boleh duduk di satu sudut. Sedangkan jenayah di depan mata. Kerana mereka kata suara kau tak bernilai, ‘lagi’. Dengan pahit kau telan dan berpura-pura bisu, seperti yang diminta.
Pergi kau sambil ditemani muzik di kedua-dua belah corong telinga. Melemparkan pandangan kosong ke arah luar tingkap. Bas meluncur laju seperti mana masa juga laju berlalu pergi. Terenjut-enjut sesekali tapi kau bagai kebal tidak menghiraukannya. Kau tahu yang kau tak selama-lamanya disuap begini. Tibanya di destinasi dan bas pun berhenti. Kau berjalan sekali lagi.
Kau lemparkan badan di atas katil dan memandang siling bilik. Lagu masih memainkan peranan sebagai pemecah kesunyian. Secara teknikalnya. Mata kau memandang tepat ke sasaran. Semakin lama kau cuba bertahan dalam permainan ini, semakin rapat mata kau tertutup. Semakin kesunyian itu terasa. Makin dan makin, akhirnya kau tewas dan terlelap. Kau tahu kau boleh bangun semula. Tapi tak terdaya. Kerana kau terlalu bergantung pada lagu-lagu itu dan tak pernah belajar.
Kau mimpi buruk. Dan kau kenal benar semua karektor dalam mimpi itu. Wajah-wajah yang kau benci dan wajah yang sepatutnya kau sayang. Dalam mimpi sendiri tapi kau tak terdaya untuk menghulurkan. Atau kau sengaja tak mahu hulurkan kerana dendam lama? Sukar untuk menetapkan pendirian semudah mana mereka mengatakan, setuju? Kau lihat keliling dengan rasa hiba yang amat sangat. Lama-lama, kau terpaksa juga setuju.
Kau bercampur dengan mereka kerana digelar anti sosial dan rasis. Senyuman penuh dengan keterpaksaan kau lemparkan. Malu teruk tapi permainan masih diteruskan. Masa pergi dan hati kau memujuk untuk menerima. Buka minda dan hati itu sedikit, asalkan ada ruang untuk mereka. Mantera kau pada otak dan hati. Konon. Padahal, hati terlalu sarat diisi segala kenangan tak guna dengan dia. Kau tahu kau cuma buang masa tunggu dia, tapi angkuh masih mahu berpegang pada janji dahulu. Sedangkan dia sedang erat menggenggam tangan orang lain. Remuk hati kau tu, ya. Berkali-kali dan bertahun-tahun.
Kelakar bila mereka fikir kau baru habis menangis dalam bilik setelah beberapa lama bertapa dalam bilik. Kelakar habis. Habis, yang selama ni yang kau menangis depan mereka, pergi mana air mata tu semua? Mungkin mereka nampak air mata itu, tapi peduli apa. Bila kau betul-betul makan hati tiada siapa yang peduli. Terlalu keliru dan tiada siapa yang tinggal untuk sebarang pencerahan.
Untuk seberapa detik, kau rasa disayangi. Kau begitu bahagia sehingga lupa pahitnya hakikat dunia. Semuanya hanya sementara. Bila kau sendiri, semuanya bagai meludah ke arah kau. Dengan harapan ludah itu sebagai pemangkin semangat untuk kau berubah. Merepek, kejam dan tak logik. Harapan tinggi melangit mereka dihempas semahu-mahunya ke atas bahu kau. Sendiri, kau dibiar bangun sendiri mencari jalan keluar dari gua gelap bersama jutaan pisau tajam yang dahagakan darah di setiap penjuru. Ya, tahi. Aku tahu.
Dan kepada yang masih ada bersama untuk perjalanan ini, terima kasih. Bersyukur apa yang ada di sekeliling kau. Tak semua manusia di luar sana merasa apa kau makan dan pakai. Dan juga keluarga kau. Sayangilah mereka kerana hanya itu yang kau mampu, kau pun tahu itu bukan? Matikan beberapa
perasaan tak guna ini dan aku akan bahagia. Sumpah.
Older Post | Newer Post