Opah.
Assalamualaikum.
Ramadhan datang lagi. Jujur aku gembira. Ramadhan. Pada masa inilah semua umat Islam diduga dengan bermacam-macam perkara. Lapar. Dahaga. Dan pada masa itulah juga aku diduga. Diduga dengan kehilangan salah seorang insan yang paling aku sayang. Opah. Aku masih ingat lagi senyumannya yang tak pernah sekali pun lekang dari bibirnya. Senyumnya sehingga menampakkan gigi emasnya. Raut wajahnya sentiasa tersenyum ramah. Tidak kira tetamu ataupun kaum keluarga.
Orang di kampung lebih gemar meggelarnya Mak Tam. Opah amat disenangi orang kampung. Ahad. 22 Julai 2012. Bersamaan dengan 2 Ramadhan 1433 Hijrah. Opah meninggalkan kami. Telefon berdering. Membawa khabar duka. Mak menyampaikan berita itu ke halwa telingaku. Kaku. Tergamam. Aku terdiam seketika. Kereta yang dipandu melucur laju di lebuhraya menuju ke kampung. Setibanya di sana. Kelihatan sudah ramai yang mengunjungi memberi penghormatan terakhir kepada Opah. Tubuhnya terkujur. Melihat raut wajah Opah di sebalik kain yang menutup wajahnya. Persis sekali dengan wajahnya sedang tidur enak dibuai mimpi. Tidak langsung kelihatan pucat. Bergenanglah air mata di celah-celah kelopak mata. Lalu jatuhlah manik-manik jernih membasahi pipi setiap ahli keluarga dan kaum kerabat. Hiba dengan pemergian Opah.
Aku terkenang pada kali terakhir kami bersua. Sebelum kami berangkat pulang ke rumah. Setiap kali. Setiap kali kami mencium tangan dan pipinya, Opah pasti akan membisikkan sesuatu. Ah, itu yang aku takkan dapat lagi. Kadang kadang bunyi yang dibisikkan kepada kami berbunyi seperti burung hantu. Yang pasti, bunyinya akan sentiasa terpahat dalam ingatan. Tisu sudah lembap dek kebasahan. Masing-masing menahan kedukaan dan menguatkan diri membaca Yassin untuk disedekah kepada arwah. Selepas selesai mengkafan jenazah. Aku mencium Opah buat kali terakhir. Rasa sebak mula menular. Aku gagal menahan. Aku rindu pada Opah. Tawanya. Senyumnya. Dan suaranya. Tidak lagi aku dapat dengar panggilannya, "Cu........" Ya Allah. Semoga kau perkenankan doa kami. Kau tempatkanlah rohnya di samping orang-orang yang beriman.
Amin Ya Rabbal'alamin.